Isnin, 20 April 2009

SENAMROBIK








Pada setiap hari Isnin,pukul 5.00ptg Perpustakaan Desa Seri Menanti dengan kerjasama PPIK Seri Menanti menganjurkan senamrobik-ponco-ponco.Senamrobik ini dibimbing oleh Puan Aida dan Puan Rahayu dari Klinik Kesihatan Gunung Pasir. Ianya dijalankan dihadapan Perpustakaan Desa tersebut. Ianya dijalankan bagi tujuan menyihatkan badan disamping dapat berkumpul dan bermesra dengan penduduk setempat.

PERUSAHAAN KUIH KESIRAT








Diusahakan oleh Puan Jahara bt Meon,60-an, dari Kampung Jumbang.Menceburi bidang ini lebih dari 10 tahun.Bermula secara kecil-kecilan dan kemudian mendapat bantuan dan bimbingan daripada Jabatan Pertanian Daerah Kuala Pilah memandangkan potensinya yang sangat baik.Membuat kuih kesirat ini di rumah sendiri dan memasarkannya disekitar daerah dan di dalam negeri. Juga memasarkan produk ke Negeri Sabah dan Sarawak.
Kuih yang dibuat oleh makcik Jahara sangat sedap dan enak. Walaupun makcik Jahara tidak datang ke PPIK tetapi beliau telah memberi kepercayaan penuh kepada Penyelia Pusat untuk mempromosikan dan cuba mencari peluang untuk memasarkan produk ketempat lain.Selain dari juadah ianya juga digunakan sebagai cederahati.Kepada sesiapa yang berminat boleh menempahnya di:

JAHARA BINTI MEON,
KAMPUNG JUMBANG
71550 SERI MENANTI,
NEGERI SEMBILAN
NO TELEFON: 06-4979093 / 06-4970062






*kesirat (kuih tradisional)ni seakan2 dodol tapi ada biji2.cuba la rasa.....sedap.

PROJEK TERNAKAN KAMBING BEBIRI






Projek ternakan kambing bebiri diusahakan oleh anak kelahiran Kuala Lumpur En.Nor Azizi Bin Abdullah, 33 tahun.Memulakan projek ini sejak dari 3 tahun yang lepas di Kg.Bukit Gunung Pasir kira-kira 5 km dari Pekan Seri Menanti.Bermula dengan 10 ekor kambing dan sekarang mempunyai lebih dari 70 ekor semuanya.En.Azizi amat berminat di dalam pemeliharan kambing bebiri ini disamping menyahut seruan kerajaan dimana "Pertanian adalah Perniagaan".Disamping itu juga permintaan pada daging kambing juga adalah tinggi.Antara baka yang dimiliki oleh en. Azizi adalah kambing kampung,Barbados dan juga Kibas.

En. Azizi pernah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan juga dibimbing oleh Jabatan Haiwan Daerah Kuala Pilah.Disamping itu juga En. Azizi sentiasa datang ke PPIK Seri Menanti unutk menggunakan kemudahan di situ seperti menaip surat,mencari peluang-peluang, mencari maklumat berkenaan baka,perubatan yang sesuai dan lain-lain juga.

Sesiapa yang berminat dengan perternakan kambing bebiri ini bolehlah berhubung dengan beliau di:


No. 19, Kg bukit Gunung Pasir
71550 Seri Menanti
Negeri Sembilan
No. Tel: 06-4979461







Ahad, 19 April 2009

NEGERI SEMBILAN KU TERCINTA



BENDERA NEGERI SEMBILAN

TANAH KUNING
Bermakna D.Y.M.M Raja.
BAHAGIAN TIGA SEGI YANG BERWARNA MERAH
Bermakna rakyat.
BAHAGIAN TIGA SEGI YANG BERWARNA HITAM
Maksudnya Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.
JATA NEGERI SEMBILAN

SEMBILAN TANGKAI DI DALAM PERISAI
Bermaksud sembilan buah negeri dalam gabungan Negeri Sembilan yang lama.
WARNA MERAH DALAM PERISAI
Menunjukkan hubungan-hubungan pada masa lalu dengan British.
WARNA HITAM
Bermaksud Dato'-dato' Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
WARNA KUNING
Bermakna Yang Di-Pertuan Besar.
BINTANG PECAH SEMBILAN
Adalah menunjukkan sembilan buah negeri dalam gabungan yang sama.
PEDANG DAN SARUNG DI ATAS PERISAI
Tanda keadilan.
DI TENGAH-TENGAH ANTARA PEDANG DAN SARUNG
"Changgai Putri" tanda kebesaran Yang Di-Pertuan Besar

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

Berkatlah Yang di-Pertuan Besar di Negeri Sembilan
Kurniai Sihat Dan Makmur
Kasihi Rakyat Lanjutkan Umur
Akan Berkati Sekalian Yang Setia
Musuhnya Habis Binasa
Berkatlah Yang di-pertuan Besar Di Negeri Sembilan

Rabu, 15 April 2009

ISTIADAT PERLANTIKAN DAN PERTABALAN










Pada 14hb April 2009 Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud telah ditabalkan sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan pada upacara penuh adat istiadat yang berlangsung di Balairong Seri,Istana Besar Seri Menanti.

Pertabalan Tuanku disempurnkan oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung sejurus istiadat perlantikan dilakukan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.Berikutan pertabalan itu,Tuanku memakai gelaran rasmi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.Gelaran rasmi ini dinamakan oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar.Luak Gunung Pasir,Luak Terachi dan Luak Jempol iaitu kawasan pemerintahan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum istiadat pelantikan dan istiadat pertabalan telah berlansung istiadat mengeluarkan dan memasamg alat kebesaran diraja yang disusuli dengan dua tembakan meriam.Sebagai tanda perlantikan rasmi Tuanku Muhriz memakaikan mahkota diraja kepada Tuanku Aishah Rohani.
Istiadat pertabalan bermula dengan upacara menghadap Tuanku Aishah Rohani oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung bersama Tiang Balai masing-masing.Disusuli upacara menghadap oleh Datuk-Datuk Lembaga Luak Tanah Mengandung.Sejurus selesai upacara menghadap itu sekaligus menandakan berakhirnya upacara pertabalan,lapan das tembakan meriam dilepaskan manakala dua das lagi selepas selesai istiadat menyimpan alat kebesaran.

Istiadat perlantikan dan pertabalan itu disulami adat turun temurun melibatakan Orang Empat Istana,Orang Enam Istana,Bentara,Apit Lempang,Pegawai 99,Penghulu Luak Tanah Mengandung Dan Tiang Balai serta Datuk-DatukLembaga masing-masing.

Istiadat pertabalan akan terpahat dalam sejarah DiRaja Negeri Sembilan selepaskali terakhir disaksikan pada 19hb Julai 1967 ketika Tuanku Najihah ibni Almarhum Tuanku Besar Burhanudin dilanti sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.


BIODATA DYMM TUANKU AISHAH ROHANI BTE TENGKU BESAR MAHMUD


Tuanku diputerikan di Batu Gajah,Perak pada 19hb Jun 1952 dan merupakan puteri Tengku Seri Utama Raja,Tengku Besar Mahmud ibni Sultan Zainal Abidin III dan Tok Puan Zainun Meriam Su Mahmud.Tuanku Merupakan Kerabat DiRaja Terengganu.Mendapat pendidikan Awal Di Sek. Ren. Sultan Sulaiman Terengganu dan kemudian menyambung pelajaran di Sek. Convent Taiping serta Convent Bukit Nanas, Kuala lumpur.Tuanku pernah bekerja di Citibank Kuala Lumpur dan baginda diperkenalkan dengan Tuanku Muhriz.Pada 25hb April 1974 pasangan DiRaja ini melangsungkan perkahwinan.

Pasangan Diraja ini telah mendapat putera pertama mereka iaitu Tuanku Besar Seri Menanti ketika ini,Tuanku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz pada 26hb April 1977.Putera kedua baginda ialah Tuanku Zain Al-Abidin,diputerakan pada 6hb Julai 1982 dan putera yang ketiga ialah Tuaku Alif Hussein Saifddin Al-Amin,diputerakan pada 3hb September 1984.

Isnin, 13 April 2009

MAJLIS TAHLIL DAN JAMUAN RAKYAT
















Pada hari Ahad 12hb April jam 12.30 tengah hari,bertempat di Perkarangan Istana Besar Seri Menanti telah diadakan satu Majlis Tahlil dan Jamuan Rakyat bersempena perlantikan YMM Tengku Aishah Rohani Bte Al-Marhum Tengku Besar Mahmud sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan yang baru.Majlis perlantikan dan pertabalan Tengku Aishah Rohani bte Al-Marhum Tuanku Besar Mahmud Sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan akan dijalankan pada 14hb April 2009.Majlis Tahlil itu juga dijalankan bagi memperingati Ayahanda DYMM Tuanku Muhriz iaitu Al-Marhum Tuanku Munawir Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman yang telah mangkat pada 14hb April 1967 dan juga memperingati kemangkatan Bonda Tuanku Muhriz iaitu Al-Marhumah Tuanku Durah Ibni Al-Marhum Tengku Besar Burhanudin.
Jemputan adalah dikalangan Datuk-Datuk Tanah Mengandong,Pegawai-pegawai istana,Ketua-ketua Jabatan dan rakyat sekitar Seri Menanti.Majlis Tahlil telah di pimpin oleh Imam Satu Masjid DiRaja Tuanku Munawir Seri Menanti,Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahman bin Idris.Setelah majlis tahlil dijalankan, jamuan rakyat diadakan.Yang seronoknya semua jemputan menikmati juadah dengan cara bertipuh atau bersila seperti zaman dahulu kala.Sekali lagi penduduk sekitar Seri Menanti bergotong-royong untuk menyediakan juadah makan tengahari.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL





Pada 10hb April 2009, telah diadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kuala Pilah bertempat di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti. Sambutan ini juga dianjurkan bersama dengan DUN Seri Menanti.Sambutan bermula jam 6.30 ptg dengan temanya 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.Program dimulakan dengan menunaikan solat Maghrib dan kemudian diteruskan dengan Forum Perdana, kemudian solat isyak dan seterusnya makan malam.Sambutan juga dihadiri oleh Tetamu DiRaja iaitu DYMM TUANKU MUHRIZ IBNI AL-MARHUM TUANKU MUNAWIR SERTA YMM TENGKU AISHAH ROHANI BINTI AL-MARHUM TENGKU BESAR MAHMUD.
3 ekor lembu telah ditumbangkan untuk majlis tersebut. Penduduk sekitar Seri Menati telah bergotong royong memasak juadah unutk majlis tersebut.Majlis santapan Diraja dan majlis makan dijalan di Dewan Serbaguna Tuanku Najihah.
Semoga dengan adanya sambutan ini dapat merapatkan lagi ikatan silaturahim antara penduduk dan rakyat dengan keluarga Diraja.

Selasa, 7 April 2009

Bandar Diraja Seri Menanti





tempat-tempat menarik sekitar Bandar Diraja Seri Menanti

ASAL NAMA SERI MENANTI

Seri Menanti adalah sebuah kampung kecil terletak kira-kira 40km dari bandar Seremban dan 14 km dari bandar Kuala Pilah.Seri Menanti merupakan Pekan Diraja tempat bersemayam Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Kebanyakan penduduknya adalah rakyat jelata dari golongan sederhana. Kehidupan mereka sama seperti petani-petani dan rakyat jelata ditempat lain walaupun mereka tinggal di sekeliling tempat bersemayam raja negeri.
Menurut cerita orang-orang tua yang dapat dikumpulkan dari mulut-mulut,di samping buku-buku catatan tulisan tangan yang ditemui, Seri Menanti telah dibuka oleh orang-orang Minangkabau kira-kira akhir kurun yang ke 17 atau pada awal kurun yang ke 18.Hal ini dapat didasarkan kepada ketibaan Raja Melewar Raja Negeri Sembilan yang pertama dalam tahun 1773.Sebelum Seri Menanti dibuka beberapa buah daerah seperti Rembau,Sungai Ujung dan Jelebu sudahpun diterokai oleh orang Minangkabau.Mengikut sumber sejarah tempatan,Seri Menanti telah dibuka oleh orang-orang Minangkabau yang datang dari Rembau.

LONDAR NAGA

Berdasarkan dari sejarah lisan yang dapat dikumpulkan bermulanya pembukaan Seri Menanti itu adalah seperti berikut:
"Pada suatu masa seorang ketua yang bergelar Dato' Raja bersama isterinya yang bernama To, Seri dengan beberapa orang anak buahnya belayar dari daerah Minangkabau menuju ke Siak. Dari Siak beliau dan pengikutnya menyeberangi Selat Melaka Langsung ke Johor dan singgah ke Melaka lalu ke Naning dan Rembau.Dari Rembau mereka masuk ke Seri Menanti yang ketika itu belum bernama lagi.Mereka berhenti di satu tempat yang terdapat kesan-kesan alur yang kononnya dilalui oleh naga atau ular besar.Lalu mereka namakan tempat tersebut 'Londar Naga' yang bermaksud 'alur naga'.Tempat bernama Londar Naga itu sekarang ialah Kampung Galau kira-kira 5 km dari Seri Menanti masuk jalan menghala ke Gunung Pasir.Kesan-kesan londar atau alur naga itu boleh dijumpai lagi sehingga sekarang ini.
Dato' Raja ini adalah kerabat Dato' Bendahara yang memerintah Sungai Tarap bergelar Penghulu Alam dibawah pemerintah Yang Di Pertuan Sultan Minangkabau. Mereka ini dari suku Batu Hampar dan kemudiannya membuka kampung yang diberi nama Sungai Layang. Nama ini kekal hingga sekarang.

MEMBUKA TANAH BARU

Tidak berapa lama kemudian,datang pula sekumpulan orang Minangkabau yang juga diketuai oleh dua orang bersaudara dari suku Tanah Datar ke Seri Menanti. Seorang darinya bernama Sultan Sumanik dan seorang lagi bernama Johan Kebesaran.Kedua-duanya sanak saudara kepada Dato' Makhdom Sakti orang besar di Minangkabau.Dalam perjalanan mereka ke Seri Menanti kumpulan tersebut singgah ke Siak.Dari Siak barulah mereka menyeberang ke Melaka dan ke Rembau.Dari Rembau mereka langsung ke Seri Menanti membuka tanah baru.Tempat yang mereka terokai dinamakan Tanjung Alam sekarang dikenali dengan Gunung Pasir.
Tidak berapa lama kemudiannya ramailah orang Minangkabau ini menyusur jalan orang0orang yang terdahulu menumpu ke Seri Menanti.Diantaranya terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh Dato'Putih dari suku Seri Lemak.Pada suatu hari bermuafakatlah di antara Dato'-Dato' yang mengetuai berbagai-bagai suku tersebut untuk mencari tempat yang lebih baik serta sesuai bagi membuka negeri,kampung halaman dan sawah ladang.

Dato' Putih bertempat di Kuala Gamin.Nama ini kekal hingga sekarang.Ketika Dato' Putih yang juga dikenali sebagai seorang pawang negeri sedang menjalankan kerja meneroka tanah baharu itu,tiba-tiba beliau menjumpai tiga rumpun padi.Memandangkan keadaan yang aneh itulah maka tempat itu dinamakan "padi Menanti".Lama kelamaan tempat ini ditukar namanya kepada "Seri Menanti". Seri itu bermakna 'padi' dalam bahasa jawa kunu.

MENUMPU DAN MENEPAT

Apakah sebabnya maka nama "Padi" itu ditukarkan kepada nama "Seri" tidaklah diketahui.Mungkin juga mengambil sempena nama To' Seri isteri kepada Dato' Raja.Dari semenjak itu kekallah nama tempat yang diterokai oleh Dato' Putih itu dengan nama "Seri Menanti" hingga sekarang.

Setelah tempat itu terbuka dan menjadi kampung halaman,maka bersemenda menyemendalah (nikah kahwin) antara satu suku dengan suku yang lain,antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.Semakin ramailah orang-orang Minangkabau datang menumpu (berhijrah) ke Seri Menanti dan bernepat (mencari) suku masing-masing.

Sekian lama mereka hidup dengan aman damai di kawasan yang diteroka itu, akhirnya mereka terfikir akan pentingnya seorang pemerintah bagi mentadbirkan negeri yang sudah terbuka luas.Walaupun mereka mempunyai ketua suku masing-masing yang dipanggil Dato' Lembaga dan Buapak,tetapi belum mempunyai Penghulu yang lebih tinggi taraf serta kedudukannya.Penghulu ini ialah ketua dari Dato'-Dato' Lembaga.

Pada masa itu iaitu kira-kira dalam pertengahan kurun yang ke 18.Ditempat-tempat lain beberapa buah kampung telah dibuka dan ramai orang-orang Minangkabau menetap meneroka dan membuka negeri.Maka bermuafakatlah di antara Dato' Dato' Lembaga ini pergi mendapatkan Penghulu Luak Inas meminta seorang daripada anaknya menjadi Penghulu.Dato' Penghulu Luak Inas pun memperkenankan permintaan ini dan menghantar anak perempuannya bernama Senduk Emas.Beliau ini dikenali juga dengan gelaran Penghulu Berlantai Kulit.Pada masa itu soal keturunan seseorang lebih diutamakan untuk menjadi Penghulu ataupun Dato'-Dato' Lembaga.

Maka Penghulu Berlantai Kulit ini pun menetap disuatu yempat bernama Padang Biawas.Nama tempat ini kekal hingga sekarang. Beliau dikahwinkan dengan seorang pemuda berketurunan baik-baik bernama Khatib Ali. Mereka suami isteri mendapat seorang anak lelaki diberi nama Naam yang kemudiannya dilantik menjadi Penghulu Luak Muar menggantikan ibunya.Dari keturunan beliau inilah juga asalnya jawatan Penghulu Luak Muar itu.

Dato' Penghulu Naam ini kemudiannya menyemenda (berkahwin) dengan suku Batu Hampar Sungai Layang iaitu anak cucu keturunan daripada Dato' Raja orang Minangkabau yang mula-mula sampai meneroka di kawasan Seri Menanti.Dari perkahwinan tersebut Dato' penghulu Naam dikurnai seramai lima orang anak,tiga perempuan dan dua lelaki. Anak-anak Dato' Penghulu Naam itu ialah:-

1. Warna Emas (perempuan)

2. Nyai Kuning (perempuan)

3. Merah (lelaki)

4. Sipi (lelaki)

5. Sani (perempuan)

Susur galur keturunan Dato' Penghulu Naam ini mempunyai kaitan penting dengan takhta Kerajaan Negeri Sembilan sekarang sehubungan dengan peristiwa bermulanya sistem beraja di Seri Menanti.Dari keturunan merah dan Sipi itulah bermulanya dua dari empat Orang Besar Istana.
Sementara Warna emas pula menjadi isteri kepada Raja Melewar,Yam Tuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. Oleh itu kedudukan Seri Menanti sendiri memanglah penting dalam sejarah beraja di Negeri Sembilan.

Isnin, 6 April 2009

Selamat Datang ke PPIK Seri Menanti NS











Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK) di bawah projek USP Fasa Kelima telah menaik taraf telecenter-telecenter yang telah ada dengan menubuhkan Pusat Perkhidmatan dan ilmu Komuniti (PPIK).Pusat ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada seramai 1.7 juta orang menjelang akhir tahun 2010.

PPIK dengan objektif merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat diluar bandar,bukan sahaja memberi penekanan pada pembentukan masyarakat yang berpengetahuan atau K-Komuniti,tetapi juga memfokuskan pada peningkatan tahap ekonomi masyarakat di luar bandar di samping meningkatkan pengetahuan sistem penghantaran secara dalam talian serta menggalakkan penggunaan aplikasi elektronik.

Bagi merealisasikan matlamat ini,penyelia-penyelia serta ahli-ahli komuniti terlebih dahulu dibekalkan dengan latihan kemahiran ICT dalam usaha menjadikan PPIK sebagai pusat komuniti.

Terdapat empat buah komputer diletakan di PPIK Seri Menanti dan sebuah mesin pencetak. Antara perkhidmatan yang disediakan ialah melayari Internet, mencetak, fotostat, menaip surat dan lain -lain lagi.

Semoga dengan adanya PPIK ini dapat membantu komuniti setempat celik IT.PPIK Seri Menanti telah di buka pada Julai 2007. Dan kini lebih dari 2 tahun beroperasi.Alhamdullilah sambutannya amat menggalakan.