Selasa, 7 April 2009

Bandar Diraja Seri Menanti





tempat-tempat menarik sekitar Bandar Diraja Seri Menanti

ASAL NAMA SERI MENANTI

Seri Menanti adalah sebuah kampung kecil terletak kira-kira 40km dari bandar Seremban dan 14 km dari bandar Kuala Pilah.Seri Menanti merupakan Pekan Diraja tempat bersemayam Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Kebanyakan penduduknya adalah rakyat jelata dari golongan sederhana. Kehidupan mereka sama seperti petani-petani dan rakyat jelata ditempat lain walaupun mereka tinggal di sekeliling tempat bersemayam raja negeri.
Menurut cerita orang-orang tua yang dapat dikumpulkan dari mulut-mulut,di samping buku-buku catatan tulisan tangan yang ditemui, Seri Menanti telah dibuka oleh orang-orang Minangkabau kira-kira akhir kurun yang ke 17 atau pada awal kurun yang ke 18.Hal ini dapat didasarkan kepada ketibaan Raja Melewar Raja Negeri Sembilan yang pertama dalam tahun 1773.Sebelum Seri Menanti dibuka beberapa buah daerah seperti Rembau,Sungai Ujung dan Jelebu sudahpun diterokai oleh orang Minangkabau.Mengikut sumber sejarah tempatan,Seri Menanti telah dibuka oleh orang-orang Minangkabau yang datang dari Rembau.

LONDAR NAGA

Berdasarkan dari sejarah lisan yang dapat dikumpulkan bermulanya pembukaan Seri Menanti itu adalah seperti berikut:
"Pada suatu masa seorang ketua yang bergelar Dato' Raja bersama isterinya yang bernama To, Seri dengan beberapa orang anak buahnya belayar dari daerah Minangkabau menuju ke Siak. Dari Siak beliau dan pengikutnya menyeberangi Selat Melaka Langsung ke Johor dan singgah ke Melaka lalu ke Naning dan Rembau.Dari Rembau mereka masuk ke Seri Menanti yang ketika itu belum bernama lagi.Mereka berhenti di satu tempat yang terdapat kesan-kesan alur yang kononnya dilalui oleh naga atau ular besar.Lalu mereka namakan tempat tersebut 'Londar Naga' yang bermaksud 'alur naga'.Tempat bernama Londar Naga itu sekarang ialah Kampung Galau kira-kira 5 km dari Seri Menanti masuk jalan menghala ke Gunung Pasir.Kesan-kesan londar atau alur naga itu boleh dijumpai lagi sehingga sekarang ini.
Dato' Raja ini adalah kerabat Dato' Bendahara yang memerintah Sungai Tarap bergelar Penghulu Alam dibawah pemerintah Yang Di Pertuan Sultan Minangkabau. Mereka ini dari suku Batu Hampar dan kemudiannya membuka kampung yang diberi nama Sungai Layang. Nama ini kekal hingga sekarang.

MEMBUKA TANAH BARU

Tidak berapa lama kemudian,datang pula sekumpulan orang Minangkabau yang juga diketuai oleh dua orang bersaudara dari suku Tanah Datar ke Seri Menanti. Seorang darinya bernama Sultan Sumanik dan seorang lagi bernama Johan Kebesaran.Kedua-duanya sanak saudara kepada Dato' Makhdom Sakti orang besar di Minangkabau.Dalam perjalanan mereka ke Seri Menanti kumpulan tersebut singgah ke Siak.Dari Siak barulah mereka menyeberang ke Melaka dan ke Rembau.Dari Rembau mereka langsung ke Seri Menanti membuka tanah baru.Tempat yang mereka terokai dinamakan Tanjung Alam sekarang dikenali dengan Gunung Pasir.
Tidak berapa lama kemudiannya ramailah orang Minangkabau ini menyusur jalan orang0orang yang terdahulu menumpu ke Seri Menanti.Diantaranya terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh Dato'Putih dari suku Seri Lemak.Pada suatu hari bermuafakatlah di antara Dato'-Dato' yang mengetuai berbagai-bagai suku tersebut untuk mencari tempat yang lebih baik serta sesuai bagi membuka negeri,kampung halaman dan sawah ladang.

Dato' Putih bertempat di Kuala Gamin.Nama ini kekal hingga sekarang.Ketika Dato' Putih yang juga dikenali sebagai seorang pawang negeri sedang menjalankan kerja meneroka tanah baharu itu,tiba-tiba beliau menjumpai tiga rumpun padi.Memandangkan keadaan yang aneh itulah maka tempat itu dinamakan "padi Menanti".Lama kelamaan tempat ini ditukar namanya kepada "Seri Menanti". Seri itu bermakna 'padi' dalam bahasa jawa kunu.

MENUMPU DAN MENEPAT

Apakah sebabnya maka nama "Padi" itu ditukarkan kepada nama "Seri" tidaklah diketahui.Mungkin juga mengambil sempena nama To' Seri isteri kepada Dato' Raja.Dari semenjak itu kekallah nama tempat yang diterokai oleh Dato' Putih itu dengan nama "Seri Menanti" hingga sekarang.

Setelah tempat itu terbuka dan menjadi kampung halaman,maka bersemenda menyemendalah (nikah kahwin) antara satu suku dengan suku yang lain,antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.Semakin ramailah orang-orang Minangkabau datang menumpu (berhijrah) ke Seri Menanti dan bernepat (mencari) suku masing-masing.

Sekian lama mereka hidup dengan aman damai di kawasan yang diteroka itu, akhirnya mereka terfikir akan pentingnya seorang pemerintah bagi mentadbirkan negeri yang sudah terbuka luas.Walaupun mereka mempunyai ketua suku masing-masing yang dipanggil Dato' Lembaga dan Buapak,tetapi belum mempunyai Penghulu yang lebih tinggi taraf serta kedudukannya.Penghulu ini ialah ketua dari Dato'-Dato' Lembaga.

Pada masa itu iaitu kira-kira dalam pertengahan kurun yang ke 18.Ditempat-tempat lain beberapa buah kampung telah dibuka dan ramai orang-orang Minangkabau menetap meneroka dan membuka negeri.Maka bermuafakatlah di antara Dato' Dato' Lembaga ini pergi mendapatkan Penghulu Luak Inas meminta seorang daripada anaknya menjadi Penghulu.Dato' Penghulu Luak Inas pun memperkenankan permintaan ini dan menghantar anak perempuannya bernama Senduk Emas.Beliau ini dikenali juga dengan gelaran Penghulu Berlantai Kulit.Pada masa itu soal keturunan seseorang lebih diutamakan untuk menjadi Penghulu ataupun Dato'-Dato' Lembaga.

Maka Penghulu Berlantai Kulit ini pun menetap disuatu yempat bernama Padang Biawas.Nama tempat ini kekal hingga sekarang. Beliau dikahwinkan dengan seorang pemuda berketurunan baik-baik bernama Khatib Ali. Mereka suami isteri mendapat seorang anak lelaki diberi nama Naam yang kemudiannya dilantik menjadi Penghulu Luak Muar menggantikan ibunya.Dari keturunan beliau inilah juga asalnya jawatan Penghulu Luak Muar itu.

Dato' Penghulu Naam ini kemudiannya menyemenda (berkahwin) dengan suku Batu Hampar Sungai Layang iaitu anak cucu keturunan daripada Dato' Raja orang Minangkabau yang mula-mula sampai meneroka di kawasan Seri Menanti.Dari perkahwinan tersebut Dato' penghulu Naam dikurnai seramai lima orang anak,tiga perempuan dan dua lelaki. Anak-anak Dato' Penghulu Naam itu ialah:-

1. Warna Emas (perempuan)

2. Nyai Kuning (perempuan)

3. Merah (lelaki)

4. Sipi (lelaki)

5. Sani (perempuan)

Susur galur keturunan Dato' Penghulu Naam ini mempunyai kaitan penting dengan takhta Kerajaan Negeri Sembilan sekarang sehubungan dengan peristiwa bermulanya sistem beraja di Seri Menanti.Dari keturunan merah dan Sipi itulah bermulanya dua dari empat Orang Besar Istana.
Sementara Warna emas pula menjadi isteri kepada Raja Melewar,Yam Tuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. Oleh itu kedudukan Seri Menanti sendiri memanglah penting dalam sejarah beraja di Negeri Sembilan.

0 ulasan: